Saturday, November 13, 2010

Sejarah




Silat Cekak Hanafi merupakan Silat Cekak yang benar-benar diamal dan dianjurkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, baik dari segi kaedah pembelajaran, konsep, falsafah, prinsip, pegangan kerohanian dan pembawaannya. Silat Cekak diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan di negeri Kedah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin pada abad ke-19. Guru yang paling lama diketahui ialah Panglima Ismail. Panglima Ismail telah menurunkan silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan silat ini kepada Encik Yahya bin Said (Pak Yah) dengan pesanannya, “Sekiranya ada anak cucuku dari Kedah datang mengambil silat ini, maka serahkan kembali kepadanya.” Setelah silat ini dipendam selama 40 tahun oleh Encik Yahya Said, pada tanggal 28 Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385H, Yang Mulia Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad telah menerima silat ini. Kelas pertama diadakan di rumah Encik Shafie bin Darus di Batu 4 ¾ Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah. Kelas kedua dibuka di Alor Merah kemudiannya berpindah ke Teluk Wan Jah dan merupakan kelas terakhir Encik Yahya Said menjadi guru di bawah anjuran Sri Kedah. Selepas itu Encik Yahya Said memberi mandat kepada Ustaz Hanafi menjadi guru.


Sejak dilahirkan kembali oleh Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, bermulalah era baru bagi silat ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan baru serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Silat Cekak sebagai satu pergerakan yang disegani oleh rakan dan lawan., yang mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Silat Cekak terus dikembangkan di bawah jentera seksi persilatan Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK) di mana Ustaz Hanafi sendiri menjadi ketua seksinya. Walaupun terdapat halangan dan tentangan, beliau terus mengembangkan silat ini ke Sungai Petani dan Seberang Prai.


Beliau seterusnya berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka kelas Silat Cekak melalui Persatuan Bawean Putra. Kelas silat pertama dibuka di sini adalah di Kampung Bumiputera, Kampung Datuk Keramat. Pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) telah didaftarkan dan beribu pejabat di No.32 Jalan Haji Sira, Kampung Baru. Matlamat utama PSSCM ialah untuk mendaulatkan silat Melayu yang benar-benar asli dan menentang segala ilmu tahyul dan khurafat dalam Silat Melayu. Ustaz Hanafi telah membuat kajian dari segi kaedah pembelajaran dan amalan-amalan yang terdapat dalam silat cekak supaya ia benar-benar bersih dan murni dari segi dua aspek. Pertama, dari aspek kaedah pembelajarannya, silat ini benar-benar warisan Melayu dan segala pergerakannya tidak membahayakan pengamalnya. Kedua dari segi aspek kefahaman dan matlamat persilatan yang jelas berteraskan tauhid. Mulai 21 Februari 1985 pergerakan Silat Cekak telah beribu pejabat di Bangunan Silat Cekak, Jalan Sentul, Kuala Lumpur.


Ustaz Hanafi telah membawa banyak pembaharuan dalam silat ini. Misalnya dari segi pembelajaran, pendekatan, penonjolan imej silat serta sistem pengurusan silat yang terbuka lagi moden. Hasilnya, Silat Cekak dapat berkembang dengan pesat dan mendapat sambutan hebat daripada mahasiswa di pusat-pusat pengajian tinggi. Sesungguhnya pengisian yang terdapat dalam Silat Cekak adalah jauh berbeza dari yang diterima daripada Pak Yah. Segala ilmu-ilmu ketuhanan yang dipelajari Ustaz Hanafi daripada guru-gurunya yang lain telah diadun dengan jayanya ke dalam ilmu silat yang diambil daripada Pak Yah untuk menjadi wadah membentuk peribadi yang unggul bagi pengamal-pengamal Silat Cekak.


Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 13 Ogos 1986, beliau tidak menamakan sesiapa pun di kalangan penuntut Silat Cekak sebagai penggantinya. Para pendukung Silat Cekak telah menunggu selama empat puluh hari untuk menamakan Guru Utama Silat Cekak. Dalam satu majlis yang telah dihadiri oleh pendukung yang termasuk Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (badan tertinggi yang mentadbir Silat Cekak semasa hayat Ustaz Hanafi), balu Allahyarham dan anak-anak beliau, telah mengisytiharkan Encik Ishak bin Itam sebagai Guru Utama (Pemangku) Silat Cekak pada masa itu. Pengisytiharan Encik Ishak berdasarkan bahawa Ustaz Hanafi telah memberi amanah kepada beliau untuk mengambil mandat perguruan, sementara anak-anaknya cukup umur dan menjaga semua keluarga Ustaz Hanafi dengan baik.


Encik Ishak menjadi Guru Utama (Pemangku) bermula dari tahun 1986 hingga tahun 1993. Pada 19 Mei 1993, Encik Ishak menyerahkan mandat perguruan Silat Cekak ini kepada yang hak iaitu Encik Md. Radzi bin Haji Hanafi, anak keempat kepada Allahyarham Ustaz Hanafi. Penyerahan mandat ini telah dilakukan secara empat biji mata dan disokong oleh dokumen hitam putih yang ditandatangani sendiri dengan rela hati dan di dalam keadaan sedar oleh Encik Ishak dan Encik Md. Radzi. Majlis pendukung yang mengisytiharkan Encik Ishak menjadi Guru Utama pada tahun 1986 telah dipanggil bersidang pada 21 Mei 1993 dan menimbangkan kes penyerahan mandat perguruan yang dibawa oleh keluarga Ustaz Hanafi dan didapati benar dan dilakukan dengan sewajarnya tanpa unsur-unsur paksaan dan mengisytiharkan Encik Md. Radzi bin Haji Hanafi sebagai Guru Utama Silat Cekak. Namun begitu sebilangan besar pentadbir Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ketika itu telah gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk menerima Encik Md. Radzi sebagai Guru Utama Silat Cekak. Mereka telah cuba menghalang Encik Md. Radzi dari menjalankan fungsinya sebagai Guru Utama dengan menggunakan kedudukan masing-masing di dalam persatuan.

Pada 5 Ogos 1994, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia telah ditubuhkan yang mana peristiwa bersejarah ini menjadi titik mula era baru kepada perlembagaan Silat Cekak. Dalam Mesyuarat Agung yang pertama, Encik Md Radzi telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden. Pada masa yang sama beliau terus kekal menjawat Pengerusi Lembaga Pelajaran dan Tatatertib. Dengan tertubuhnya persatuan, beliau dan pendukung Silat Cekak Hanafi yang setia dan komited berusaha meletakkan pergerakan silat ini berasaskan kepada perjuangan Ustaz Hanafi yang tulen. Dalam usaha mengangkat Silat Cekak Hanafi ke peringkat nasional, beliau mempunyai tanggungjawab besar untuk menyatupadukan fikiran dan tenaga ahli bagi mengembang dan memajukan Silat Cekak Hanafi. Antara strategi yang digariskan adalah memperkukuhkan organisasi Silat Cekak dan mempunyai landasan arah tuju yang jelas pada tahun 2001. Kini usaha tersebut dimantapkan lagi dengan penumpuan diberikan kepada pengukuhan unsur-unsur budaya, sumber manusia, hartanah dan kewangan.

No comments:

Post a Comment