Saturday, November 13, 2010

Pewaris Warisan Abadi


YM Tuan Syeikh Hj Md Radzi bin Hj Hanafi Al-Qadhi. merupakan putera kepada pengasas dan pemimpin agung Silat Cekak, ImageAllahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad. Bondanya, Puan Hajjah Maimunah binti Othman atau lebih mesra dengan panggilan Mak Teh. Beliau dilahirkan pada tanggal 3 Ogos 1961 di Batu 3 3/4 Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah Darul Aman dan mendapat pendidikan formal sekolah rendah dan menengah di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Perumpamaan orang Melayu itu tepat bagi beliau. Begitulah diibaratkan kepada YM di mana Ustaz Hanafi telah mengasuh dan mendidik anak-anaknya termasuklah anaknya yang keempat ini dengan ilmu-ilmu persilatan dan kefahaman agama. Dengan ini, beliau dapat mengorak langkah lebih jauh dalam usaha meneruskan perjuangan dan cita-cita bapanya dalam mendaulatkan seni pusaka budaya Melayu berteraskan kefahaman tauhid yang jitu.

Dalam bidang persilatan, beliau sememangnya mempunyai minat terhadap silat ini sejak kecil lagi. Beliau telah bergaul dan membabitkan diri secara meluas dalam seni Silat Cekak dan pada usia 18 tahun iaitu umur yang dibenarkan mempelajari Silat Cekak ketika itu, beliau mula mempelajari seni Silat Cekak dan telah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Persilatan pada tahun 1980, seterusnya Sijil Menengah Persilatan pada tahun 1987. Tumpuan juga diberikan terhadap usaha mempelajari bidang perubatan tradisional.


YM Tuan Syeikh Hj Md Radzi bin Hj Hanafi Al-Qadhi. mula berkhidmat secara sepenuh masa dalam kegiatan persilatan apabila beliau menjadi tenaga pengajar Silat Cekak sejak tahun 1981. Beliau juga diberikan kepercayaan menjadi penyelia kelas di Selangor, Terengganu dan Johor. Pengalaman ini memberi peluang kepadanya mempelajari hal ehwal pentadbiran dan pengurusan sesebuah organisasi persilatan.


YM Tuan Syeikh Hj Md Radzi bin Hj Hanafi Al-Qadhi. telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Marsita bt. Mohd Salleh, yang berasal dari Johor Bahru pada tahun 1990. Mereka kini dikurniakan 4 cahayamata iaitu 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan.
Image

Setelah diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 23 Mei 1993, beliau bersama pendukung Silat Cekak Hanafi semakin giat menyusun strategi dan komited berusaha meletakkan pergerakan silat ini berdasarkan kepada perjuangan Ustaz Hanafi yang tulen. Dalam usaha mengangkat martabat Silat Cekak Hanafi ke peringkat nasional (kebangsaan), beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyatupadukan fikiran dan tenaga ahli bagi mengembangkan dan memajukan Silat Cekak Hanafi. Antara strategi beliau ialah menjadikan organisasi Silat Cekak Hanafi sebagai sebuah organisasi yang terancang dan mempunyai arah tuju (misi dan visi).


Selaku pewaris perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj Ahmad, beliau amat yakin Silat Cekak Hanafi dapat diperkembangkan dan dimajukan bersesuaian dengan kehendak semasa. Buktinya dapat kita lihat hari ini apabila hampir seluruh institusi pengajian awam, swasta dan sekolah mempunyai kelas-kelas latihan Silat Cekak Hanafi di mana telah ramai golongan profesional menyertainya.

petikan daripada : sumber

1 comment:

  1. Saya da komen kat blog saya..

    http://www.asrolmania.com/2010/11/auto-create-read-more-blog-with-image.html

    ReplyDelete